Sunday, December 19, 2010

YANG PERTAMA


Jam di tangan sudah menunjukkan angka 7.45 minit malam. Lima belas minit lagi bas KKKL yang akan membawanya ke destinasi yang ingin dituju akan bergerak. Walaupun sudah ada penumpang mula menaiki bas itu, namun dia masih lagi setia di tempat duduknya tadi dengan tiket ditangan. Matanya melihat sekeliling perhentian bas Kota Bharu itu dengan pandangan yang sukar ditafsirkan.
“Diam tak diam hampir lima tahun aku di sini. Banyak pengalaman yang aku lalui di sini. Pahit manis payau dan segala macam. Semuanya lengkap. Di sini jugalah aku belajar untuk menjadi insan yang lebih tabah dalam segala hal. Dan kini aku seperti tidak percaya bahawa akan meninggalkan negeri Che Siti Wan Kembang ini dengan hati yang berat kerana hati aku jugak tertinggal di sini. Aku belum mampu untuk mengambilnya. Mungkin satu hari nanti apabila tiba masanya, aku akan datang kembali untuk mengambil hatiku itu”
Tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi menandakan bahawa ada mesej masuk.
“Kau kat mana?”
“Kat stesen bas Kota Bharu.”
“Bas kau dah gerak ke?”
“Belum lagi. Sepuluh minit lagi baru gerak.”
“Tunggu aku kejap. Aku on the way ke sana. Lagi lima minit aku sampai.”
Selepas mesej terakhir itu dibaca, dia terus menarik luggage dan beg sandangnya untuk di letakkan di tempat barang yang disediakan. Nampaknya tidak ramai penumpang kali ini. Mungkin kerana tidak bertembung dengan cuti panjang. Jika tidak, tentu sahaja tempat barang di dalam bas ini penuh. Selesai sahaja menyusunkan beg-begnya agar senang untuk diambil nanti, telefon bimbitnya berbunyi kembali yang menandakan bahawa ada panggilan masuk.
“Aku dah sampai stesen bas. Kau kat mana?”
“Aku kat depan kaunter bas KKKL.”
“Okay. Aku ke sana.”
Dia terus duduk kembali ke tempat duduknya tadi untuk memudahkan si pemanggil tadi melihatnya. Tambahan pula pakcik bas yang mengutip tiket tiada lagi di bas.
“Fuh… Nasib baik dapat jumpa kau.”
“Allahuakbar.. Kau ni pun. Kot iye pun bagi la salam. Terkejut aku.”
“Hahaha.. Sori la. Aku kalut sebenarnya. Takut tak sempat nak jumpa kau.”
“Sweetnya dia ketawa. Aku mesti merindui gelak tawanya.” Hatinya berbicara sendiri dalam diam. Tidak mahu terus dibuai angan dia meneruskan bicara.
“Apa yang penting sangat nak jumpa aku ni?”
“Takde lah. Aku sebenarnya nak bagi ni.” Jawabnya sambil menghulurkan satu beg kertas yang sederhana besar.
“Apa benda ni?” Dia bertanya sambil mengintai isi beg itu.
“Hadiah hari jadi kau. Sorry la lambat sikit bagi.”
“Teddy bear??”
“Yup. Hari tu kau jugak kan yang mintak teddy bear as birthday present kau tahun ni.”
“Aku bergurau je la masa tu. Jangan la take it serious.”
“Aku dah take it serious pun.”
“Buat susah kau je.”
“Untuk kau, apa pun aku sanggup.”
Terdiam dia seketika mendengar sebaris ayat itu sebelum dia menyambung bicara.
“Ye la tu. Ok lah bas aku pun dah nak gerak ni. By the way, thanks a lot for this present.”
“Welcome. Okay. Take care.”
“You too. Bye.”
“Bye.”
Dan sehingga bas bergerak meninggalkan stesen bas itu, si teman masih setia memerhati dari tempat itu. Dia mengeluarkan isi beg kertas tadi. Sebuah teddy bear berwarna coklat yang memegang satu bentuk hati yang bertulis ‘love’ berwarna merah. Satu senyuman terukir di wajahnya. Senyuman yang mempunyai seribu erti. Tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi menandakan ada satu mesej masuk.
“Dalam beg kertas tu ada satu surat. Aku harap selepas kau membaca surat itu, kau dapat memberikan jawapan secepatnya. Aku amat mengharapkan jawapan dari kau.”
Ke hadapan temanku..
Pastinya kau terkejut dengan kehadiran surat ini. Sesungguhnya ini sahaja cara yang mampuku fikirkan buat masa ini.
Antara sedar dan tidak, ikatan persahabatan kita sudah menginjak ke tahun kelima. Dalam tempoh ini banyak sudah kita berkongsi cerita dan rasa. Namun ada satu rasa ini yang tidak pernah kukongsikan dengan sesiapa.
Entah sejak bila rasa ini bertunas di dalam diri ini, aku sendiri tidak pasti. Jika sehari tidak berlawan bicara atau bertingkah kata denganmu, hidupku jadi tidak keruan. Mendengar suaramu mampu melenakan tidurku. Apakah tandanya ini?
Dalam pada tempoh persahabatan kita ini, pastinya kau telah sedia maklum bagaimana personalitiku. Ego aku letakkan di tangga teratas. Dan kerana itulah aku telah megabaikan rasa itu. Namun sampai bila aku mampu menipu diriku ini.
Khabar perpindahanmu telah membuatkan separuh dari diriku melayang. Saat itu perasaanku berbelah bahagi. Antara ego dan kewarasan. Aku hampir kalah dengan perasaan. Namun aku kembali sedar bahawa tidak selamanya ego itu perlu diletakkan di atas. Kadang kala untuk mencari kebahagian, ego itu perlu direndahkan. Dan kerana itu jugaklah aku memberanikan diri untuk menulis surat ini.
Pepatah ada mengatakan, sehebat mana seorang lelaki itu, di belakangnya pasti ada seorang wanita yang menyokongnya dan wanita itu sering dikaitkan dengan peranan seorang isteri. Dan kini aku ingin bertanya, sudikah kau menjadi seorang wanita di belakangku yang akan menyokongku? Aku amat mengharapkan jawapan darimu.
Dalam linangan air mata, dia memeluk teddy bear yang baru diterimanya tadi dan dia dapat merasakan bahawa air mata itu adalah air mata bahagia. Lantas dia mengambil telefon bimbitnya untuk menghantar mesej.
“Surat itu sudah kubaca dan jawapan kepada pertanyaan itu adalah YA.”
Seusai menghantar mesej itu satu senyuman kebahagian terukir di wajahnya. Sesungguhnya kini dia tidak lagi perlu datang ke Kota Bharu lagi untuk mengambil hatinya yang tertinggal kerana hatinya itu akan dipulangkan kepadanya tidak lama lagi.
(p/s: baca cerita ni sambil menghayati lagu Ucapkanlah nyanyian Erra Fazira & Yusry KRU)

No comments:

Post a Comment